LEBIH 190 MASJID, SURAU WILAYAH PERSEKUTUAN BANTU ANAK KARIAH TERJEJAS – ZULKIFLI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Lebih 190 masjid dan surau, termasuk 88 masjid, di Wilayah Perkutuan akan membantu anak kariah yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam menyebarluas misi #MusaadahCOVID19, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin diminta memanfaatkan tabung masjid bagi membantu anak-anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan.

Katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diminta menyelaraskan perkara itu di semua masjid-masjid dan Surau Diri Jumaat dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kebajikan umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sentiasa menjadi prioriti saya.

“Beberapa usaha telah dilaksanakan melalui misi #MUSAADAHCOVID19 yang memfokuskan asnaf dari Wilayah-Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang telah dikenalpasti.

“Di samping itu, kebajikan petugas barisan hadapan (frontliners) tanpa mengira agama dan bangsa serta keperluan hospital di Wilayah-Wilayah Persekutuan juga tidak dikesampingkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri menjaga hal ehwal agama itu berharap inisiatif terbabit disambut baik semua pihak.

“Bagi pelaksanaan di peringkat negeri, ia diserahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,” katanya.

Terdahulu di Seremban, Zulkifli melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Wakaf Malaysia dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan berbentuk bahan makanan dan wang tunai RM500 kepada 100 penerima dikenalpasti Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan. ⁣⁣

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada pelajar dan staf sokongan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Di sebelah pagi, Zulkifli menyempurnakan majlis sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan JAWI kepada wakil 132 penerima bantuan #MusaadahCOVID19 di Zon 7 WP Putrajaya yang membabitkan bantuan keseluruhan RM66,000 dalam bentuk barangan dan wang.

Majlis berlangsung dalam suasana ringkas di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya dalam masa kurang 10 minit. ⁣⁣– AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply