LIMA SUSPEK DISIASAT TULARKAN BERITA PALSU COVID-19
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengambil rakaman percakapan lima suspek atas tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19 di Perak dan Pulau Pinang.
SKMM dalam kenyataannya hari ini berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“SKMM dan PDRM berganding bahu melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutamanya mengenai COVID-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sehingga 23 Mac 2020, MCMC telah menerima sebanyak 43 kes daripada orang awam, yang mana seramai 18 suspek telah dikenal pasti. Enam (6) daripada mereka termasuk seorang selebriti telah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” kata kenyataan itu.
SKMM menegaskan ia memandang serius sikap tidak bertanggungjawab individu atau kumpulan yang menyebarkan berita palsu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Memulakan atau menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah.
“SKMM dan PDRM memantau perkara ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat demi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” kata suruhanjaya itu.
SKMM berkata orang ramai boleh melayari portal Sebenarnya.my atau pautan telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy bagi memastikan kesahihan sesuatu berita.
Manakala, sebarang maklumat penularan berita palsu mengenai COVID-19 turut boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my. — AlHijrah Online