MAYAT LELAKI TANPA PAKAIAN DITEMUKAN DI TEPI SUNGAI GOLOK

KOTA BHARU: Seorang lelaki tanpa pakaian ditemukan mati di tepi Sungai Golok berdekatan Kampung Simpangan di Tumpat, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Tumpat Supt Tan Seng Lee berkata mayat yang tidak dikenal pasti bangsa itu ditemukan pada 7.25 pagi oleh orang awam di tepi sungai terbabit.

“Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) yang melakukan siasatan itu mendapati mayat ditemukan berada dalam keadaan telangkup dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain.

“Identiti mayat yang masih belum dikenal pasti itu dijumpai dalam keadaan bogel dengan tiada kesan suntikan BCG dan dipercayai berada dalam air itu melebihi 24 jam,” katanya dalam kenyataan sambil menambah umur mayat mangsa dalam lingkungan 30 hingga 40-an.

Mengulas lanjut, Tan berkata pihaknya juga telah bertemu dengan penduduk Thailand dan ketua kampung yang tinggal di seberang Sungai Golok untuk mendapatkan maklumat mengenai mayat berkenaan.

“Mayat dihantar ke Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menjelaskan polis Kelantan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Selatan Thailand untuk siasatan lanjut. 

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga hilang boleh berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Md Sani  Md Saleh ditalian 012-9216944.–AlHijrah Online

Leave a Reply