KES PENIPUAN BELI DURIAN DALAM TALIAN MENINGKAT

Sumber Gambar: ARKIB AFP

GEORGE TOWN: Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan urusan jual beli durian secara dalam talian terutama menjelang musim raja buah itu di Pulau Pinang berikutan terdapat kes penipuan membabitkan kes tersebut.

Polis Daerah Timur Laut dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan pihaknya mengesan peningkatan kes penipuan pembelian durian secara dalam talian di daerah itu yang dipercayai didalangi sindiket penipuan.

“Modus operandi sindiket itu ialah mereka akan mengiklankan penjualan durian dengan harga yang murah di media sosial antaranya Facebook dan Instagram.

“Mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut akan berurusan dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp berdasarkan nombor telefon yang tertera pada iklan itu dan mangsa kemudiannya diarahkan klik pada pautan yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ untuk membuat bayaran,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, apabila mangsa klik pada pautan yang diberikan, ia akan membawa halaman yang menyerupai ‘FPX Transaction’ dan sebaik sahaja mangsa memasukkan ‘username’ dan kata laluan, sistem pembayaran tersebut akan tergendala.

Kenyataan itu memberitahu mangsa akan menerima mesej daripada pihak bank bahawa berlaku pemindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga dalam jumlah yang tinggi daripada harga pembelian tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali memuat turun sebarang aplikasi yang tidak pasti ketulenannya dan jangan mendedahkan username, kata laluan atau apa-apa maklumat perbankan kepada pihak ketiga,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply