KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menyekat akaun individu yang menyebarkan ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace di media sosial.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beliau telah berhubung dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung isu berkenaan.
“Saya semak pagi tadi akaun itu sudah tidak boleh diakses. Sebelum ini, pihak MCMC memaklumkan mereka mendapat pandangan dan laporan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai ajaran sesat itu.
“Ada beberapa tindakan yang telah diambil termasuk siasatan untuk pastikan bukti-bukti ini tidak terjejas. Jadi setelah beberapa perkara dilakukan, pihak MCMC mendapat kebenaran daripada Menteri Hal Ehwal Agama dan hari ini saya lihat akaun itu tidak boleh lagi diakses,” katanya.
Pada Khamis lalu, Mohd Na’im memaklumkan bahawa ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace adalah bertentangan dengan syariat Islam
Pihaknya juga akan memastikan semua kandungan di media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh.
Tular di media sosial mengenai akaun TikTok dipercayai milik bishop atau ketua ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace yang mempunyai lebih 30,000 pengikut dan mendapat sambutan apabila pemilik akaun itu menggunakan aplikasi TikTok live atau siaran langsung.—AlHijrah Online