MENTERI AGAMA TIDAK TERLIBAT SYARIKAT PELABURAN SAHAM – SETIAUSAHA AKHBAR

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tidak pernah terlibat dengan sebarang syarikat pelaburan saham seperti tular menerusi sebuah poster palsu di media sosial.

Setiausaha Akhbar kepada Mohd Na’im, Mazlina Ismail berkata, pejabat kementerian itu menafikan dakwaan tersebut selain menyatakan pihak berkenaan telah menggunakan gambar menteri itu tanpa keizinan.

“Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar terlibat dan mempunyai apa-apa kaitan dengan syarikat pelaburan saham seperti yang tular poster di media sosial.

“Pihak berkenaan telah menggunakan gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tanpa keizinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebaran iklan palsu tersebut atas apa juga platform, katanya.

“​Pejabat ini juga ingin menasihati masyarakat agar sentiasa membuat semakan kesahihan apa-apa iklan atau promosi sebelum memberi maklumat lanjut.

“Laporkan segera kepada polis atau 997 (National Response Scam Centre – NSRC) sekiranya disyaki menjurus kepada penipuan,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply