MENTERI PENGAJIAN TINGGI LETAK JAWATAN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO membuat keputusan itu kerana akur dengan keputusan partinya.

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan.

“Namun, berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta. Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Noraini usaha untuk memulihkan negara akibat pandemik COVID-19 akan diteruskannya walaupun tidak lagi menjadi menteri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantu saya melaksanakan tugas.

“Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungi kita semua,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply