MESYUARAT KHAS J/K MUZAKARAH KHAS MKI BINCANG HUKUM MENGENAI COVID-19

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) berhubung isu COVID-19 diadakan di Pulse Grande Hotel, Putrajaya hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata mesyuarat itu diadakan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membincangkan pandangan hukum berikutan penularan wabak COVID-19.

Katanya, mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, dihadiri semua mufti negeri atau wakilnya, pengarah jabatan agama Islam negeri dan wakil majlis agama Islam negeri.

Taklimat mutakhir mengenai situasi COVID-19 disampaikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mokhtar Mohd Abd Rahman.

“Ahli-ahli muzakarah juga telah meneliti pembentangan kajian pandangan hukum oleh Dr Aizam bin Mas’od, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa al-Zuhaili (ACE), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Keputusan pandangan hukum itu akan dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Duli-Duli Tuanku Sultan dan Raja negeri-negeri bagi mendapat perkenan untuk tindakan selanjutnya,” kata Zulkifli dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, di lokasi sama, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan perbincangan bersama pimpinan jemaah tabligh Malaysia menerusi sidang video dikendalikan Dr Noor Hisham.

“Saya mengucapkan sekalung penghargaan atas kerjasama penuh dan komitmen jemaah tabligh Malaysia dalam menangani penularan wabak COVID-19.

“Umat Islam di Malaysia diingatkan mematuhi semua makluman daripada KKM, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri yang disampaikan dari semasa ke semasa,” kata Zulkifli.

Jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini menjadi tumpuan ramai susulan laporan ada dalam kalangan peserta yang hadir di acara itu disahkan dijangkiti COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply