LUBNAN ISYTIHAR DARURAT EKORAN KORONAVIRUS

BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab hari ini mengisytiharkan darurat di Lubnan susulan penularan koronavirus, demikian lapor agensi berita Anadolu.

Diab mengumumkan keputusan itu susulan mesyuarat dipengerusikan Presiden Michel Aoun bagi membincangkan langkah-langkah menangani virus itu.

Menteri Penerangan, Manal Abdel Samad berkata semua proses keluar masuk di sempadan, lapangan terbang dan pelabuhan akan ditutup antara 18 hingga 29 Mac.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak tertakluk kepada kakitangan PBB, diplomatik dan perkhidmatan logistik.

Kementerian Kesihatan mengesahkan 99 kes koronavirus di Lubnan dengan tiga maut akibat virus itu.

Muncul di Wuhan, China pada Disember lalu, virus yang secara rasminya dikenali sebagai COVID-19, menular di 141 negara dan wilayah.

Angka maut akibat koronavirus kini melebihi 5,700 kes dengan lebih 152,000 kes disahkan positif, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply