COVID-19: 190 KES BAHARU, 428 KES KESELURUHAN DI MALAYSIA

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baharu itu berkait dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

Tujuh kes yang disahkan positif penyakit itu sebelum ini telah pulih dan dibenarkan pulang daripada wad di Hospital Sungai Buloh, Selangor, menjadikan 42 kes telah pulih sepenuhnya dan discaj setakat ini.

“Sehingga kini, seramai sembilan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan sedang giat menjalankan penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan tabligh serta menyeru agar peserta perhimpunan itu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

“Peserta perhimpunan itu akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif COVID-19 mengikut mana yang terkemudian.

“Begitu juga untuk kontak rapat kepada kes positif COVID-19, pesakit dalam siasatan (PUI) yang tidak mematuhi kriteria kemasukan ke hospital, mereka juga perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut ketentuan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata semua Jabatan Kesihatan Negeri dan PKD telah menjalankan aktiviti berkaitan bagi kawalan kejadian COVID-19 dalam kalangan jemaah tabligh dan juga lain-lain kes disyaki COVID-19 bagi mengekang penularan jangkitan itu.

“Semua pihak dipohon memberi kerjasama rapat kepada pihak KKM dan bersama-sama membendung penularan ini dengan mengikuti nasihat-nasihat rasmi yang dikeluarkan,” katanya.

Selain itu, rakyat Malaysia juga diminta supaya tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dan KKM terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui maklumat yang diperoleh dan dimaklumkan dari semasa ke semasa. — BERNAMA

Leave a Reply