‘MICROSLEEP’ BERKAIT RAPAT DENGAN PRESTASI MANUSIA

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Sindrom Tertidur Tanpa Sedar atau microsleep berkait rapat dengan prestasi seharian manusia, kata pakar Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Rozmi Ismail.

Beliau berkata jika dilihat daripada konteks microsleep, kebanyakan mengalami sindrom itu dalam kalangan mereka yang bekerja dan melakukan pemanduan jarak jauh.

“Manusia tidak sama seperti mesin, manusia mempunyai limitasi tersendiri. Kalau mesin, kita tekan saja ia sudah bergerak tetapi manusia memerlukan rehat. Otak, mata dan bahagian badan perlu rehat mencukupi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Rozmi, golongan paling berisiko untuk mengalami microsleep ialah pemandu bas, lori dan teksi yang menggunakan pemanduan jarak jauh ataupun mereka bekerja syif malam dan tidak tidur siang.

“Ini semua akan menyebabkan kesan kepada prestasi manusia dan badan tidak sesuai dengan keadaan biological clock (putaran biologi). Kalau kita paksa badan kita, ia menyebabkannya letih dan secara tiba-tiba kita akan berehat dengan sendiri…itulah microsleep,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan kepada sindrom microsleep, Rozmi mencadangkan pemandu supaya berhenti selepas memandu dua atau tiga jam untuk berehat dan jangan melakukan pemanduan secara terus dari satu tempat ke satu tempat tanpa berhenti.

“Kita kena jaga biological clock, maksudnya manusia tidak boleh lawan fitrah. Manusia siang bekerja dan malam perlu tidur. Kalau kita lawan juga, prestasi kita akan cepat lemah dan badan kita jadi letih.

“Selain itu, perlu adanya kempen secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat mengenai bahayanya microsleep ini semasa pemanduan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Psikologi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, Melaka Aini Faezah Ramlan menyifatkan microsleep sebagai satu isyarat menandakan kondisi kesihatan seseorang mula merosot. 

Beliau berkata pemandu cenderung untuk terjebak dalam microsleep atas faktor terlalu penat atau kurang rehat, jadual tidur tidak menentu serta tahap kesihatan yang tidak stabil.

“Pemandu perlu berwaspada dengan tahap kesihatan diri sendiri, peka dengan isyarat yang mula menyebabkan tumpuan pemanduan terganggu seperti menguap beberapa kali, rasa letih dan kurang bertenaga,” katanya.

Aini juga mencadangkan pemandu harus mengatur semula rutin atau jadual serta gaya hidup yang lebih sihat untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam sindrom itu.

Microsleep semasa memandu perlu dielakkan sebagai langkah berhati-hati untuk mengelakkan kemalangan jalan raya,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata dianggarkan lebih 20 peratus kemalangan di jalan raya di negara ini berpunca daripada tertidur, mengantuk, letih, leka atau berangan.

“Tidur tidak datang secara tiba-tiba, anda tidak boleh memandu secara sedar dalam seminit dan tertidur selepas itu. Selalunya terdapat masa yang cukup untuk menyedari apabila kita sudah rasa mengantuk,” katanya.

Statistik punca kemalangan sepanjang Op Selamat sempena Aidilfitri pada 2019 menunjukkan sebanyak 675 kemalangan melibatkan mengantuk, leka, berangan dan letih.

“Daripada jumlah itu, 14 membabitkan kemalangan maut, tiga parah, 10 kemalangan ringan dan 648 lagi adalah kemalangan melibatkan kerosakan sahaja,” kata Mat Kasim. 

Mat Kasim berkata pemandu yang terlelap ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain kini dikategori sebagai pemanduan secara melulu atau berbahaya dan boleh didakwa mengikut Seksyen 41(1), 42(1) dan 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.–AlHijrah Online

Leave a Reply