ASSALAMUALAIKUM QIAM: HIDUPKAN SEPERTIGA MALAM DENGAN QIAMULLAIL

KUALA LUMPUR: Istiqamah untuk meneruskan semangat ibadah di sepertiga malam pada Ramadan lalu, TV AlHijrah mengajak umat Islam seluruh negara untuk berqiamullail menerusi program Assalamualaikum Qiam.

Program julung kali itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menjayakan majlis Qiamullail Perdana yang akan turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary turut dijadual hadir.

Pengisian dalam Assalamualaikum Qiam antaranya solat sunat tahajud, hajat dan witir, alunan bacaan ayat al-Quran daripada qari tersohor tanah air, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, serta tazkirah daripada Senator Datuk Idris sendiri.

Lebih menarik, program tersebut akan bersiaran secara langsung di TV AlHijrah pada Sabtu, 25 Jun 2022 seawal jam 5 pagi dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Orang ramai turut dijemput hadir bagi mengimarahkan lagi masjid dengan ibadah solat sunat serta bermunajat memohon keampunan kepada Allah SWT.–AlHijrah Online

Leave a Reply