NAJIB BERSALAH ATAS TUJUH PERTUDUHAN, DIHUKUM PENJARA 12 TAHUN DAN DENDA RM210 JUTA

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan ke atas Najib.

Mohd Nazlan juga berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pasukan pendakwa raya.

Beliau mengambil masa kira-kira dua jam membaca penghakiman sebelum membuat keputusan sabit kesalahan.

Agensi berita Bernama melaporkan, Mahkamah Tinggi turut menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib. — AlHijrah Online

Leave a Reply