NETANYAHU PADAM PALESTIN DARI PETA, PROMOSI NORMALISASI ISRAEL-NEGARA ARAB

Sumber Gambar: AFP

NEW YORK: Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu membentangkan peta baharu yang dipadam negara Palestin, semasa ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, di sini.

Peta yang dinamakan ‘Timur Tengah Baharu’ atau ‘The New Middle East’ itu menunjukkan kawasan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza kelihatan sebagai sebahagian daripada Israel.

Netanyahu sebelum itu turut menunjukkan peta yang memaparkan wilayah Palestin adalah sebahagian daripada Israel pada tahun 1948.

Memetik laporan Middle East Eye, peta tersebut ditunjukkan Netanyahu itu bagi mempromosikan pembentukan semula wilayah Israel dengan menjalinkan hubungan dengan negara-negara Arab khususnya Arab Saudi.

“Saya percaya kita berada di puncak kejayaan yang lebih dramatik: keamanan bersejarah antara Israel dan Arab Saudi.

“Perdamaian sebegini akan membantu untuk menamatkan konflik Arab-Israel. Ia akan menggalakkan negara Arab lain untuk menormalkan hubungan mereka.

“Ia akan meningkatkan prospek perdamaian dengan rakyat Palestin, menggalakkan perdamaian yang lebih luas antara agama Yahudi dan Islam, antara Baitulmaqdis dan Makkah, antara keturunan Ishak dan keturunan Ismail,” dakwanya dalam ucapan di UNGA, pada Jumaat.

Netanyahu berkata, rakyat Palestin boleh mendapat manfaat termasuk keamanan yang lebih luas dengan hasil perjanjian yang dilakukan namun mereka tidak layak untuk mendapat kuasa ‘veto’.

AFP melaporkan Presiden Palestin Mahmoud Abbas sebelum ini menegaskan keamanan di Timur Tengah tidak boleh dicapai selagi tiada jaminan terhadap rakyat Palestin.

Mahmoud dalam ucapannya di UNGA pada Khamis lalu turut memberi amaran kepada Israel supaya tidak menjadikan perjuangan politiknya kepada ‘perselisihan antara agama’, merujuk kepada pencerobohan serta pencabulan terhadap kesucian agama Islam di Baitulmuqaddis.—AlHijrah Online

Leave a Reply