OKU BISU DIGILIS TRELER

KULIM: Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan seorang suami apabila melihat sekujur tubuh isteri yang dicintai kaku setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler.

Suami mangsa yang secara kebetulan melalui tempat kejadian meluru ke arah mayat dan memeluknya sambil menangis selepas melihat individu yang terlibat kemalangan adalah isterinya.

Menurut Ketua Polis Kulim, Superitendan Azhar Hashim, dalam kejadian jam 1.30 petang, mangsa Nur Almass Zasmi, 23 tahun menunggang motosikal jenis Modenas Kriss datang dari arah Serdang ke Sungai Ular, manakala treler datang dari arah bertentangan.

Ujar beliau, sebaik tiba ditempat kejadian, motosikal yang ditungang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di atas jalan sebelum treler melanggar mangsa sehingga digilis tayar belakang.

Mangsa yang cedera parah di kepala maut ditempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Kulim untuk di bedah siasat.

Menurut Azhar kes akan disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wanita yang bekerja sebagai operator kilang di Kulim itu merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) bisu dan telah melangsungkan perkahwinan dengan pasangan yang juga OKU bisu pada 8 Disember 2018.

Pasangan itu dikurniakan seorang bayi perempuan yang kini berusia 7 bulan. — AlHijrah Online

Leave a Reply