PALESTIN SAHKAN TUJUH KES KORONAVIRUS DI TEBING BARAT

RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin semalam mengesahkan tujuh kes koronavirus di wilayah Tebing Barat yang dijajah.

Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaileh dalam sidang akhbar semalam berkata tujuh warga Palestin disahkan positif koronavirus.

“Tujuh warga Palestin itu kini dikuarantin,” katanya dipetik agensi berita Anadolu.

Al-Kaileh berkata Pihak Berkuasa Palestin turut mengaktifkan pelan kecemasan di Bethlehem dan Jericho di wilayah Tebing Barat.

Susulan itu, semua institusi pengajian dan latihan di Bethlehem ditutup selama 14 hari.

Kesemua masjid dan gereja, termasuk Gereja Nativity di Bethlehem, juga ditutup selama dua minggu iaitu tempoh virus akan menunjukkan simptom, jika individu dijangkiti.

Kementerian Kesihatan Palestin sebelum itu mengisytihar darurat kecemasan di kedua-dua bandar wilayah Tebing barat iaitu Bethlehem dan Jericho susulan penularan koronavirus itu, malah sebuah hotel di Bethlehem turut dikuarantin.

Kementerian Kesihatan Israel turut mengesahkan keseluruhan 16 kes positif koronavirus di timur Baitulmaqdis.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak koronavirus atau COVID-19 tersebar di 80 negara dengan 95,000 individu dijangkiti dan meragut lebih 3,200 nyawa di seluruh dunia. — AlHijrah Online

Leave a Reply