PALSUKAN BORANG RENTAS NEGERI, DUA PELAJAR KOLEJ DITAHAN, SALAH SEORANG POSITIF GANJA

KUANTAN: Dua pelajar wanita kolej swasta ditahan polis selepas disyaki memalsukan borang rentas negeri untuk ke Pahang, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kedua-dua suspek berusia 22 tahun telah menaiki kenderaan sama dan ditahan di sekatan jalan raya selepas Plaza Tol Bentong, pada 6.45 petang selepas anggota bertugas meragui kesahihan borang dikemukakan mereka.

Kedua-dua mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala Kuantan.

“Siasatan awal mempercayai cop dan tandatangan ketua balai yang meluluskan borang itu bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan atas alasan menghadiri kelas adalah palsu yang dihasilkan dengan menggunakan mesin pengimbas.

“Polis turut menemukan salinan borang kosong dengan tandatangan palsu dikatakan milik ketua balai polis di telefon pintar seorang daripada suspek, yang dipercayai digunakan bagi menghasilkan borang rentas negeri itu,” katanya.

Dalam masa yang sama, Zaiham mendapati ujian saringan air kencing seorang daripada suspek juga didapati positif ganja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu serta Seksyen 471 kanun sama atas kesalahan menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Suspek yang positif dadah juga akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. –AlHijrah Online

Leave a Reply