PAPARKAN KEBENARAN MENGENAI ISLAM
KUALA LUMPUR: Penubuhan saluran televisyen khas dilihat menjadi ruang strategik bagi melancarkan ‘counter-narrative’ dalam usaha menangani fenomena Islamofobia yang mendepani masyarakat Islam global.
Menurut pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zaid Ahmad, ia juga mampu menepis gambaran ekstremisme yang sering dipaparkan media barat apabila memperkatakan tentang Islam sehingga mempengaruhi pemikiran masyarakat dunia.
“Ketika ini, Islamofobia menjadi wacana arus perdana di barat dengan Islamofobia meresap ke dalam pelbagai segmen pemikiran dan dilihat mempengaruhi setiap sikap, keputusan dan tindakan khususnya berkaitan umat Islam.
“Jadi sekiranya diwujudkan stesen televisyen ini, ia akan menjadi benteng ‘counter-narrative’ serta pembekal maklumat lebih tepat dan berwibawa dengan menarik lebih ramai pihak untuk memahami Islam yang sebenar,” katanya.
Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan fakulti berkenaan memberitahu Bernama menjelang penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dari 18 hingga 21 Dis ini.
Penubuhan saluran televisyen itu dijangka menjadi antara perbincangan sidang kemuncak berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kehadiran pemimpin dunia Islam selain golongan pemikir, cendekiawan dan ulama.
Zaid menegaskan penglibatan golongan ilmuan dan agamawan amat penting dalam menjayakan usaha memperbetul berita dan maklumat palsu yang memburuk-burukkan Islam dan penganutnya.
Katanya, ini kerana gerakan menepis persepsi negatif terhadap Islam memerlukan asas ilmu yang kukuh, penyelidikan yang mantap dan berkualiti selain keupayaan memahami secara jelas isu-isu yang dimainkan di peringkat antarabangsa.
Usaha itu, jelas Zaid, akan turut membantu membawa umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seperti yang ditetapkan dalam al-Quran.
Sidang kemuncak yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu bertujuan, antara lain, membincang dan mencari jalan penyelesaian baharu bagi masalah yang dihadapi dunia Islam, dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat dan negara-negara Islam.
Ia juga bertujuan membentuk jaringan antara pemimpin, cendekiawan, ulama dan pemikir Islam di seluruh dunia, serta menghidupkan semula tamadun Islam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya berkata bagi menjayakan saluran televisyen itu, ia perlu dimuatkan dengan segmen rancangan yang seimbang dan tidak terbatas kepada masyarakat Islam sahaja.
Saluran televisyen itu juga perlu dijenamakan kepada konsep yang lebih mesra kepada bukan Islam supaya kandungannya lebih mudah diterima ramai.
Chamil berkata sebarang program bersifat perbincangan juga harus dilakukan secara rasional dan bukan emosional.
“Bagi memastikan pengisian yang seimbang, ahli akademik bukan Islam yang mempunyai kepakaran dalam Islam juga boleh diundang untuk memberi pandangan yang membangun mengenai isu yang dibangkitkan,” katanya.
Selain itu, katanya, bukti pencapaian Islam dan sumbangannya yang kurang ditonjolkan barat boleh diketengahkan dalam bentuk dokumentari berfakta yang boleh memikat orang ramai untuk menonton dan mempelajarinya.
Antara yang boleh diketengahkan ialah sistem ekonomi, perbankan serta etika perniagaan Islam selain pencapaian dalam bidang sukan.
Beliau turut mencadangkan agar kos membangun dan membiayai saluran televisyen itu dikongsi bersama kalangan negara yang mempunyai matlamat serupa dalam merealisasikan idea itu. — BERNAMA