PASANGAN SAINTIS TERIMA DARJAH KEBESARAN JERMAN, KEJAYAAN CIPTA VAKSIN COVID-19

JERMAN: Presiden Jerman menganugerahkan Darjah Kebesaran Merit Komandan Kesatria kepada saintis Dr Ugur Sahin dan Dr Ozlem Tureci atas kejayaan penghasilan vaksin COVID-19.

Menurut kenyataan Pejabat Presiden Jerman, darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Republik Persekutuan Jerman adalah sebagai satu penghormatan tertinggi bagi pasangan suami isteri tersebut.

Mengulas lanjut, Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier akan menyampaikan anugerah tersebut kepada Sahin, 56, serta Tureci, 54, pada 19 Mac ini di Istana Bellevue.

“Dengan pembangunan vaksin COVID-19 yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa, Tureci dan Sahin memberikan sumbangan besar dalam membendung penularan COVID-19.

“Kedua-dua saintis itu menghubungkan penyelidikan asas perubatan dengan menterjemahkan untuk penggunaan praktikal,” katanya.

Pasangan saintis berkenaan adalah pengasas kepada syarikat farmaseutikal BioNTech yang ditubuhkan pada 2008 di Mainz, Jerman.

Penghasilan vaksin COVID-19 pertama jenis Pfizer oleh Sahin dan Tureci menunjukkan keberkesanan lebih 90 peratus dengan menggunakan teknologi baharu mRNA sintetik (asid ribonukleik pengutus) yang menghantar arahan genetik kepada sel manusia untuk membina sebahagian daripada koronavirus.

Molekul mRNA berada dalam partikel lemak untuk melindunginya, tetapi ia mudah terurai lebih cepat berbanding vaksin biasa dan disebabkan itu, ia memerlukan simpanan suhu ultra-rendah.

Terdahulu, Malaysia antara negara yang menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pada 21 Februari lalu.—AlHijrah Online

Leave a Reply