Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PAUL YONG MULAKAN HUKUMAN PENJARA LAPAN TAHUN SELEPAS GAGAL RAYUAN AKHIR KES ROGOL

DALAM NEGARA

PAUL YONG MULAKAN HUKUMAN PENJARA LAPAN TAHUN SELEPAS GAGAL RAYUAN AKHIR KES ROGOL

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan mula menjalani hukuman penjara selama lapan tahun hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lepas.

Sumber: BERNAMA

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan mula menjalani hukuman penjara selama lapan tahun hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan keputusan sebulat suara, menolak rayuan akhir Yong terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya.

“Sabitan adalah sah dan keputusan majoriti di Mahkamah Rayuan adalah wajar,” kata Wan Ahmad Farid yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Yong, 55, akan terus dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman serta-merta.

Beliau mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi atas kesalahan merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun dari Indonesia.

Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong, namun, Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas mengurangkan hukuman terbabit kepada lapan tahun tetapi mengekalkan dua sebatan itu.

Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata perayu (Yong) telah mencabar Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah atas alasan beliau dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil kerana mangsa (saksi pendakwaan ke-15) memberikan keterangan dalam sesi tertutup tanpa dilihat oleh tertuduh atau peguam bela.

Mangsa yang merupakan saksi utama telah memberikan keterangan di bawah Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Farid berkata tidak berlaku sebarang ketidakadilan terhadap Yong dan kes pendakwaan juga tidak terjejas memandangkan mangsa adalah seorang saksi yang dilindungi.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan turut berpuas hati bahawa mangsa adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya telah diterima oleh mahkamah.

“’Hakim yang mengendalikan perbicaraan adalah pihak yang paling sesuai menilai tingkah laku saksi semasa memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Wan Ahmad Farid turut menyatakan bahawa mangsa di dalam diarinya antara lain menulis “Aku benci diriku,” dan apabila ditanya di mahkamah berkaitan maksud ayat itu, mangsa menjelaskan dia berasa “kotor, jijik dan hina”.

“Mangsa turut memberi keterangan bahawa sebelum kejadian rogol, perayu telah melakukan gangguan seksual terhadapnya beberapa kali di rumah perayu,” katanya.

Beliau berkata pada 9 Julai 2019, Dr Nila Wati (SP5) memeriksa wanita berkenaan di Hospital Ipoh dan mendapati terdapat koyakan baharu pada selaput dara, yang berlaku dalam tempoh kurang dari 72 jam ketika mangsa diperiksa.

“Saksi tidak menolak kemungkinan koyakan itu disebabkan oleh penetrasi zakar. Bukti daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mengesahkan bahawa pada masa kejadian, perayu berada seorang diri bersama mangsa,” katanya.

Hakim berkenaan menyatakan mangsa memberi keterangan bahawa dia telah diugut oleh perayu supaya tidak mendedahkan perlakuan terhadapnya kepada isteri perayu, jika tidak, mereka berdua akan mati, dengan mangsa yang pertama meninggal dunia.

Beliau berkata mahkamah turut mendapati elemen pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan terhadap perayu, iaitu terdapat penetrasi dan tanpa persetujuan mangsa, telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

“Kesimpulannya, rayuan perayu ditolak. Mahkamah dengan ini mengeluarkan perintah komital terhadap perayu,” katanya.

Yong didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh, antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Yong, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz mewakili pihak pendakwaan.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading