Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS GEMPA BUMI 6.9 MAGNITUD DI CEBU, FILIPINA

DALAM NEGARA

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS GEMPA BUMI 6.9 MAGNITUD DI CEBU, FILIPINA

Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda Kepulauan Cebu di Filipina pada 9.59 malam waktu tempatan Selasa.

Sumber: AFP

KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda Kepulauan Cebu di Filipina pada 9.59 malam waktu tempatan Selasa.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Luar berkata Kedutaan Malaysia di Manila sedang memantau rapi situasi itu yang telah mengorbankan nyawa dan memindahkan ratusan keluarga.

“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat gempa bumi tersebut. Kedutaan sedang giat berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada mangsa dan keluarga yang terkesan dengan bencana itu.

“Kementerian Luar kini sedang menyelaras dengan agensi berkaitan berhubung bantuan yang boleh disalurkan kepada pihak Filipina,” menurut kenyataan itu lagi.

Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terlibat supaya berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka, digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila di Salcedo Village, 107 Tordesillas, Makati, 1227 Metro Manila, Filipina melalui telefon di +63 2 8662 8200 / 0917 864 0761, atau e-mel di mwmanila@kln.gov.my.

Pada Selasa, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina pada mulanya melaporkan gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melanda wilayah Cebu pada 9.59 malam waktu tempatan, sebelum mengemas kini magnitud kepada 6.9 dengan kedalaman lima kilometer, kira-kira 19km timur laut Bogo City, lapor Xinhua.

Gegaran turut dirasai di banyak wilayah berdekatan di Filipina tengah serta beberapa kawasan di selatan negara itu.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam gempa bumi itu, dengan angka korban terus meningkat ketika kerajaan menggerakkan agensi bagi mencari mangsa yang masih terselamat.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

1 Comment

1 Comment

  1. Anonymous

    1 October 2025 at 8:11 PM

    Sya Mohammad hari.nombor.telefon.0104201443

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading