MUAR : ‘Abang Bas’ yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak dan membuat hantaran jelik membayar ikat jamin RM40,000 di Kompleks Mahkamah Muar, hari ini
Bayaran jaminan ke atas lelaki berusia 24 tahun itu dilakukan peguam probono yang juga sebelum ini dikenali sebagai peguam kotak pensel,Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar .
Tertuduh sebelum ini ditahan lebih seminggu di pusat tahanan sementara kerana gagal membayar ikat jamin yang dikenakan terhadapnya.
Keseluruhan jumlah ikat jamin membabitkan tiga pertuduhan antaranya mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Walaupun dibebaskan, ‘Abang Bas’ masih terikat dengan syarat tambahan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Dalam pada itu, Ahmad Zaharil berkata, ‘Abang Bas’ mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan menerusi saluran yang betul iaitu perundangan di mahkamah.
“Saya fikir ia tidak adil, awak tidak kenal pun ‘dia’ tetapi bagi komen macam cerdik pandai sedangkan ‘dia’ tiada peluang untuk membela diri ketika itu.
“Perkara pertama saya minta ‘Abang Bas’ bertenang dan kami akan mengemukakan rayuan untuk mengurangkan ikat jamin yang dikenakan dan mendapatkan semula bas yang di sita,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Sementara itu keluarga ‘Abang Bas’ mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu, termasuk selebriti, yang didakwa menimbulkan syak wasangka serta kecaman terhadap lelaki itu sepanjang ditahan polis.
Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, tindakan itu akan diambil selepas ahli keluarganya menerima kecaman daripada warganet susulan kes dihadapi ‘Abang Bas’.
Namun individu terbabit masih berkesempatan untuk membuat permohonan maaf kepada keluarga ‘Abang Bas’ sekiranya tidak mahu tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
“Pecahlah mana-mana tabung yang ada, kira siap-siap, jadi senang nak kira nanti. Selama ditahan, dia dikecam sehebat-hebatnya tanpa belas ihsan,” katanya ketika ditemui media selepas membayar ikat jamin di Kompleks Mahkamah Muar – Alhijrah Online