PUTRAJAYA: Satu seminar khas bagi merangka Pelan Strategik Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) untuk tahun 2026-2030 telah diadakan bertujuan mengumpulkan input dan pandangan awal daripada empat tokoh pakar terkemuka dari pelbagai bidang.
Seminar yang berlangsung selama dua hari itu bagi membina satu garis panduan strategik dan komprehensif bagi organisasi itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman, empat pakar yang dipanggil untuk memberikan pandangan terdiri daripada Pakar Bidang Kehakiman, Tun Zaki Azmi, Pentadbiran Awam, Datuk Seri Zaini Ujang, Tokoh Korporat dan Perundangan, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani, serta Pengerusi TV AlHijrah, Khair Ngadiron.
“Kita panggil keempat-empat pakar ini untuk memberikan input awal kepada kita sebelum membina satu garis panduan ataupun pelan strategi BHEUU tahun 2026-2030.
“Kita ingin mendapatkan input-input daripada mereka dari lapangan,” katanya ketika ditemui media.
Matlamat utama pelan strategik ini adalah untuk melahirkan satu ‘dokumen hidup’ yang boleh dilaksanakan bagi membentuk BHEUU yang lebih berjiwa besar pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelan itu amat penting kerana ia akan menjadi penentu kepada corak dan haluan baharu organisasi tersebut.
“BHEUU sebagai sebuah agensi kerajaan memainkan peranan menentukan arah perundangan negara pada masa akan datang.
“Oleh itu amat penting maklum balas yang kami terima daripada pakar-pakar terlibat untuk membantu dalam merangka pelan terbabit,” katanya.
Tambahnya, antara intipati utama yang akan diberi penekanan dalam pelan strategik itu nanti termasuk aspek pengukuhan kemanusiaan dan adaptasi teknologi terkini.
Pihaknya menjangkakan pelan strategik tersebut akan dapat dilancarkan pada awal tahun hadapan, selepas semua input awal diproses dan dirancang dengan teliti. — AlHijrah Online