PEMANDU LORI DIDENDA RM2,000 PINDAH LEMBU TANPA KEBENARAN

BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Munisipal Butterworth akibat memindahkan 21 ekor lembu tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Mohd Aidil Abdul Halim, 40, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Aidil didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup menggunakan lori bernombor pendaftaran DCD9845 tanpa mendapat kebenaran bertulis pengarah negeri atau mana-mana pihak berkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Bakap Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada jam 10.07 malam, 29 Januari lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan dibawah perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut 2003 yang di baca di bawah Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

Ia boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 dan sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM15,000.

Prosiding dijalankan Pegawai Pendakwa JPV Negeri Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Mohd Aidil memohon mahkamah meringankan hukuman denda ke atas dirinya dengan alasan perlu menyara keluarga dan membayar insurans pinjaman perumahannya.

Dalam penghakimannya, Noor Farah Hazwani berkata, tertuduh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucuthak.

Tertuduh yang ditemani anak lelakinya menjelaskan bayaran denda yang dikenakan. –AlHijrah Online

Leave a Reply