PEMANDU WANITA DITAHAN KES KERETA MEWAH BERHENTI TENGAH LEBUH RAYA

KULAI: Polis menahan seorang wanita dipercayai pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang memotong secara merbahaya sehingga berlaku pelanggaran konvoi kereta mewah di Kilometer 34 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata, wanita berusia 28 tahun itu direman tiga hari sehingga 23 Mac ini selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Tambahnya, wanita tersebut ditahan semasa menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Media sebelum ini melaporkan polis mempercayai tindakan pemandu pacuan empat roda yang memotong secara ‘zig-zag’ menjadi punca konvoi kenderaan mewah tersebut memberhentikan kenderaan mereka di tengah jalan Lebuh Raya Utara Selatan, pada 18 Mac lalu.

Video kejadian turut tular di media sosial yang menunjukkan beberapa kenderaan mewah berhenti di tengah jalan lebuh raya sehingga menghalang laluan kenderaan lain.–AlHijrah Online

Leave a Reply