PEMBELAJARAN DIGITAL MEMACU POTENSI PENDIDIKAN NEGARA

Last Updated on

Oleh Mohamad Idham Md Razak

Integrasi di antara Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) akan membantu pendidik yang berevolusi dan mampu untuk memenuhi keperluan global.

Integrasi ICT bertujuan menggantikan kaedah pembelajaran konvensional dengan fasiliti dan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi.

Secara umumnya, ICT dianggap sebagai salah satu elemen utama dalam mentransformasikan sesebuah negara ke arah pembangunan masa hadapan.

Lewat kebelakangan ini, penggunaan teknologi baharu dalam sistem pendidikan telah meningkat di seluruh dunia.

Pelbagai metodologi e-pengajaran yang diperkenalkan dan disepadukan dengan silibus sedia ada seperti Augmented Reality, Artificial Intelligence dan Internet of Things digunakan secara meluas di kebanyakan institusi pengajian.

Kesan teknologi baru dalam konteks pendidikan majoritinya positif kerana teknologi baharu memberi peluang kepada pendidik untuk meningkatkan pengetahuan dan juga kemahiran sedia ada.

Walaubagaimanapun, negara dan dunia menghadapi cabaran yang hebat berikutan wabak Covid-19 yang melanda di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Oleh yang demikian, kebanyakan institusi pengajian awam mahupun swasta telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara atas talian sebagai alternatif bagi menggantikan pembelajaran secara konvensional.

Terdapat pelbagai cabaran perlu ditempuhi pendidik untuk menyesuaikan diri dengan situasi dan keperluan semasa. Pelajar juga secara tidak langsung turut terkena tempiasnya.

Ada segelintir pelajar di pedalaman, tiada akses capaian internet yang sempurna serta tidak mempunyai aksesori sokongan untuk mengikuti pembelajaran secara digital.

Di dalam konteks ini, pendidik perlulah lebih kreatif dan berinovatif bagi memastikan tiada pelajar yang keciciran di sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka telah mengambil inisiatif awal dengan memastikan setiap tenaga pengajar dibekalkan dengan latihan yang mencukupi bagi memastikan kesediaan beralih ke arah kaedah pengajaran secara digital.

Kaedah pentaksiran juga diubah mejadi lebih dinamik dan fleksibel agar memudahcara pelajar.

Selain itu juga, melalui kumpulan Entiti Kecemerlangan yang dianggotai oleh penulis dan rakan pensyarah rentas fakulti yang turut melibatkan kerjasama industri dan beberapa institusi pengajian tinggi luar negara telah mengambil inisiatif awal dengan mewujudkan platform pembelajaran digital bagi subjek Ekonomi dan Keusahawanan.

Produk inovasi tersebut telah mendapat pelbagai pengiktirafan negara luar seperti Korea Selatan, Kanada dan Taiwan.

Melalui kaji selidik yang dilakukan penyelidik di University of Roehampton, London, United Kingdom pada 2018 mendapati bahawa hampir 90.5 peratus daripada pelajar yang dipilih sebagai responden bersetuju bahawa kaedah pembelajaran dan informasi atas talian diperlukan bagi mendapatkan input untuk menyokong kaedah pembelajaran konvensional serta meningkatkan pemahaman terutamanya bagi subjek Ekonomi di peringkat A-Level.

Terdapat pelbagai kelebihan yang boleh didapati melalui pembelajaran secara digital. Melalui kaedah ini, ianya membolehkan pelajar mengikuti proses pembelajaran secara fleksibel tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran konvensional.

Melalui kaedah ini juga pelajar boleh melakukan diskusi pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama. Selain itu melalui pembelajaran digital, pelajar dapat menggunapakai e-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari atas talian.

Sebagai contoh di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perpustakaan Negara menawarkan hampir 13.2 juta bahan bacaan bacaan digital yang boleh dimuat turun secara percuma.

Melalui e-buku ini dapatlah pelajar dapat menjimatkan kos pembelian serta dapat mengurangkan pencemaran dan pembaziran bahan bacaan.

Dapatlah ditekankan di sini bahawa melalui pembelajaran digital, ianya dapat meningkatkan potensi dan minat pelajar serta kaedah pembelajaran secara inklusif dan holistik dapat diprakktikan.

Walaubagaimanapun, pendidik masih memainkan peranan yang penting dalam membimbing pelajar dan memastikan material digital yang dipilih pelajar adalah bermanfaat. – AlHijrah Online

Penulis adalah pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka (Kampus Jasin)

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply