Pemilihan Agong tiada kena-mengena dengan saya – Tun Mahathir

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene petang tadi menimbulkan persoalan mengenai pelantikan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong baharu.
Bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir berkata beliau tidak terlibat dalam urusan itu.
“Itu soal Raja-Raja, tak ada kena mengena dengan saya,” jelas beliau ringkas.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pertemuan empat mata itu berlangsung.

Ini ada kali pertama Tun Dr. Mahathir mengadakan pertemuan rasmi dengan Sultan Ibrahim sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Pertemuan tertutup antara Sultan Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir berlangsung 90 minit membincangkan pelbagai perkara termasuk pandangan rakyat terhadap Sultan Ibrahim.
“Saya boleh communicate (berhubung) dengan dia, kita setuju supaya kita frank (jujur), cakap secara terus terang, tiada sembunyi-sembunyi.
“Dia bagi pandangan dia, saya bagi pandangan saya,” katanya
Perdana Menteri memaklumkan pertemuan berkenaan berjalan lancar.
Pertemuan berkenaan dicadangkan Sultan Ibrahim sejak dua minggu lalu.

Tun Dr. Mahathir turut bersetuju untuk bertemu dengan Sultan Ibrahim pada masa akan datang sekiranya mempunyai masalah.
Beliau memaklumkan kali terakhir beliau bertemu Sultan Ibrahim ialah pada 20 tahun lalu dan jelasnya hubungan mereka berdua baik sahaja.