Penduduk persoal sikap pemilik anjing

Sebahagian penduduk yang terlibat dalam dialog dengan pihak berkuasa di Taman Lavender Heights, Seremban semalam.


SEREMBAN – Kontroversi kematian beberapa ekor anjing di depan  masjid di Taman Lavender Heights di sini terus  hangat  selepas pengerusi masjid berkenaan dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Ekoran daripada tindakan pihak tertentu yang mengaitkan pengerusi  masjid tersebut, penduduk di taman perumahan berkenaan bangkit mempertahankan Mohd Asna Amin,  Pengerusi Masjid Taman Lavender Heights.

Sinar Harian melaporkan, penduduk sanggup dipenjarakan demi mempertahankan  Mohd Asna Amin yang dikaitkan dengan kematian beberapa ekor anjing dipercayai akibat diracun, baru-baru ini.

“Jika pengerusi masjid kami dipenjarakan, saya juga akan ikut bersama.

Bahkan semua penduduk taman perumahan ini minta untuk dipenjarakan sama,” kata salah seorang penduduk, Datuk Seri Abdul Rahim  di hadapan kira-kira 200 penduduk taman berkenaan pada sesi dialog antara penduduk dan pihak berkuasa di Senawang semalam.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Nik Hamidah Nik Husin.

Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata, isu anjing liar di kawasan perumahan tersebut semakin serius, ditambah pula dengan sikap penduduk yang membela sehingga tiga ekor anjing.

Katanya, selama 10 tahun tinggal di perumahan tersebut, beliau dan isteri sering diancam anjing liar semasa berjoging. Malah haiwan peliharaan penduduk seperti arnab dan kucing juga sering mati dipercayai dibunuh anjing liar yang berkeliaran.

Beliau kesal dengan sikap  sesetengah penduduk yang tidak bertimbang rasa dan dan membuat laporan polis seolah-olah anjing mereka saja yang mati.  Padahal ada juga kucing penduduk yang mati dikerjakan anjing. 

“Rumah dan masjid kami dimasuki dan dicemari najis anjing, adakah nasib kami terbela? Kami tak kisah kalau mereka bela anjing di dalam rumah atau anjing mereka bising dan menyalak tetapi ada anjing yang menyerang dan mengancam keselamatan penduduk walaupun aduan telah banyak kali dibuat,” katanya.

Sementara itu, wakil Majlis Perbandaran Seremban (MPS) berkata, pihaknya telah menangkap 8,000 ekor anjing liar di sekitar Seremban pada tahun 2016 dan 4,000 ekor lagi pada 2017 melalui dua syarikat yang dilantik menjalankan kerja-kerja tersebut.

Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan pada Julai 2017 sehingga kini selepas ada pihak mempertikaikan kuasa MPS menangkap dan melupuskan haiwan berkenaan.

Terdahulu, Mohd Asna yang merupakan Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Lavender Heights disiasat polis selepas seorang penduduk membuat laporan mendakwa tiga ekor anjing termasuk seekor miliknya mati akibat diberi racun awal bulan ini.

Beliau menjadi sasaran kecaman selepas perbualannya dengan penduduk berhubung isu anjing di perumahan itu menerusi aplikasi WhatsApp tular, baru-baru ini.

One comment

Leave a Reply