PENGANJUR PROGRAM BERKHATAN DIINGATKAN PATUH SOP

BANGI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan pihak yang melaksanakan program berkhatan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Tambahnya, pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan, serta penganjur perlu memastikan penjarakan fizikal diamalkan sepanjang program berlangsung.

Ujarnya program Khatan Is’aadul Usrah 2020 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini boleh dijadikan contoh kerana mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Program berkhatan ini dibuat dengan mengambil kira SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita juga telah maklum semua pihak yang ingin laksana program berkhatan, untuk sentiasa mematuhi SOP,” katanya selepas melancarkan program khatan tersebut di Poliklinik Sri Putra di Bangi, hari ini.

Program Khatan Is’aadul Usrah 2020 itu dijalankan serentak di seluruh negara dengan kerjasama Pertubuhan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) khusus untuk meringankan beban ibu bapa, penjaga asnaf dan golongan B40 dalam melaksanakan tuntutan ibadah berkhatan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata program ini membolehkan YADIM menyantuni setiap lapisan masyarakat terutama mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Program ini juga menyantuni ibu bapa selain daripada anak yang berkhatan, bantuan akan diberikan kepada keluarga tersebut.

“Program ini dianjurkan setiap tahun dengan peruntukan RM30,000,” katanya.

–AlHijrah Online.

Leave a Reply