PENGGIAT SENI PERLU BERTANGGUNGJAWAB DALAM BERKARYA

KUALA LUMPUR: Semua penggiat seni diingatkan untuk bertanggungjawab terhadap mesej yang ingin disampaikan melalui karya masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dalam kenyataan berkata karya seni perlu menjadi perhitungan utama kerana menjadi cerminan kepada masyarakat terutama sekali golongan muda.

“Pelakon, pengarah, penerbit dan semua yang terlibat dalam pembikinan sesuatu karya seni pasti mengetahui bahawa sebagai hamba Allah kita akan dipersoal dan diberi balasan atas setiap yang kita tinggalkan ketika hayat kehidupan ini.

“YADIM juga menggesa pihak berkuasa dalam bidang penyiaran dan media memainkan peranan secara proaktif dalam membendung sebarang bentuk penyiaran media yang boleh menjejaskan akhlak penonton serta memberi imej buruk kepada negara,” katanya.

Kenyataan itu bagi mengulas isu klip adegan drama yang bertentangan dengan syariat Islam.

YADIM menzahirkan bantahan dan kekesalan atas penularan klip itu yang dipercayai daripada adegan sebuah drama yang bakal ditayangkan kelak kepada umum.

Dalam pada itu, YADIM menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk menggunakan kuasa sebagai pengguna media dalam menyampaikan mesej penentangan terhadap bahan-bahan hiburan yang secara jelas merosakkan nilai murni yang ingin disemai kepada anak-anak. – AlHijrah Online

Leave a Reply