DISANGKA ADA KEMATIAN RUPANYA VAN JENAZAH DICURI

PADANG BESAR: Sebuah van jenazah dipercayai dicuri sebelum ditemui di kawasan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQs), di sini semalam.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi melibatkan van jenazah kepunyaan Masjid Al-Ghafor, Padang Lati, Beseri.

Memetik laporan Harian Metro, sebelum van tersebut dilaporkan hilang seorang pembantu masjid tersebut ternampak van jenazah masjid tempatnya bertugas berada di atas jalan raya di Simpang Alor Tampang, Beseri.

Lelaki berkenaan dilapor tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangkakan terdapat kes kematian dan kemungkinan penggunanya telah mendapat kebenaran untuk menggunakan van jenazah itu.

Namun ketika menunaikan solat Zohor, lelaki itu mendapati van jenazah berkenaan masih tiada di parkir masjid kemudian menghubungi kakitangan masjid dan dimaklumkan pihak pengurusan tidak mengetahui individu yang membawa keluar van jenazah berkenaan.

Sejurus itu pembantu masjid bersama orang kampung keluar mencari van tersebut di sekitar kawasan Beseri namun gagal ditemui dan disyaki sudah dicuri.

Satu laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Beseri pada 5.25 petang dan van berkenaan berjaya ditemui di parkir Kompleks ICQs Padang Besar oleh pasukan polis peronda yang melakukan rondaan di kawasan itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. – AlHijrah Online

Leave a Reply