PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT BERTEMBUNG PACUAN EMPAT RODA

BENTONG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaaan di Kilometer 19 Jalan Karak-Kuala Pilah di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar mengesahkan kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3.20 petang tersebut melibatkan sebuah motosikal, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), dan sebuah kereta pacuan empat roda.
Mangsa yang dikenali sebagai S Vivakanandan, berusia 33 tahun, telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Hasil siasatan awal dan berdasarkan kesan-kesan kerosakan, dipercayai penunggang motosikal telah memotong MPV dan bertembung dengan pacuan empat roda serta tercampak lalu menyebabkan pacuan empat roda hilang kawalan dan melanggar MPV tersebut.
“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pemandu MPV iaitu lelaki berusia 35 tahun dan pemandu pacuan empat roda, lelaki berusia 60 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga meminta mana-mana pihak yang menyaksikan insiden tersebut untuk tampil membantu siasatan. –AlHijrah Online