PENUNJUK PERASAAN AS BANTAH PERANG DENGAN IRAN

Penunjuk perasaan melaungkan “No war on Iran” dalam protes di Washington, New York dan seluruh Amerika Syarikat (AS) bagi membantah pembunuhan panglima perang Iran menggunakan serangan dron.

Di luar Rumah Putih, sekitar 200 penunjuk perasaan berkumpul sebagai sebahagian gelombang tunjuk perasaan anjuran pertubuhan haluan kiri. Mereka melaungkan slogan antaranya “No Justice, No Peace, US out of Middle East”.

Penganjur menyatakan demonstrasi itu diadakan di 70 bandar AS bagi mengecam pembunuhan Mejar Jeneral Qasem Soleimani pada Jumaat di Baghdad atas arahan Presiden AS, Donald Trump.

Serangan itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlakunya keganasan di Asia Barat.

“Kita tidak akan biarkan negara kita terjerumus dalam peperangan semberono,” kata seorang penunjuk perasaan di luar Rumah Putih.  

Penunjuk perasaan kemudiannya berarak ke arah Trump International Hotel yang terletak berdekatan dengan kediaman presiden.

“Perlu alih perhatian? Mulakan peperangan,” demikian tertera pada papan tanda dipegang Sam Crook, 66.

Trump kini berdepan dengan perbicaraan di Dewan Senat berikutan usul pemecatannya berhubung Skandal Ukraine.

“Negara ini kini di bawah kuasa individu yang mentalnya kurang stabil, maksud saya Donald Trump. Ada sesuatu yang tidak kena di pemikirannya,” kata Crook kepada agensi berita AFP.

Shirin, 31, warga Amerika berketurunan Iran, memberitahu beliau bimbang dengan kemungkinan peperangan dengan Iran yang bersumpah akan membalas dendam atas kematian Soleimani.

“Kita dah membelanjakan trillion dollar untuk peperangan yang tidak adil di Iraq, yang anda tahu, perang paling lama kini di Afghanistan. Apa yang kita nak tunjukkan,” katanya.

Beliau mendakwa penjajahan AS ke atas Iraq sejak 2003 menyebabkan ketidakstabilan serantau dan menguatkan Iran yang kini menjadi “kuasa politik, sosial dan budaya di Iraq”.

Di Times Square, New York, penunjuk perasaan berarak sambil membawa sepanduk membantah perang dengan Iran dan menggesa AS memanggil semula 5,000 tenteranya di Iraq pulang. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply