TRUMP UGUT SERANG 52 LOKASI PENTING DI IRAN

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengugut akan menyerang 52 lokasi penting di Iran sekiranya ada rakyat atau aset negara Uncle Sam itu diserang.
Amaran Trump itu susulan tindakan Washington membunuh Komander Tertinggi Iran, Qassem Soleimani yang telah menaikkan kemarahan banyak pihak.
Menerusi laman Twitternya Trump mendakwa Iran mengeluarkan kenyataan mensasarkan beberapa aset milik Amerika Syarikat sebagai serangan balas atas kematian Soleimani.
“Jadikan ini sebagai amaran, sekiranya Iran menyerang mana-mana rakyat atau aset Amerika Syarikat kami telah mensasarkan 52 lokasi serangan balas di Iran.
“Lokasi-lokasi ini sangat penting buat Iran dan kebudayaan negaranya dan kami akan serang dengan sangat pantas dan teruk,” kata Trump menerusi Twitternya.
Menurut Trump 52 lokasi serangan balas itu juga bersamaan dengan jumlah tebusan rakyat Amerika Syarikat yang berada di Iran selepas kedutaan Amerika Syarikat ditawan di Tehran pada 1979.
Trump juga menyatakan Amerika Syarikat tidak mahu apa-apa ugutan atau amaran lagi diberikan kepada mereka.
Soleimani, 62 tahun yang disenarai hitam oleh Amerika Syarikat dilaporkan terbunuh apabila kenderaan dinaikinya terkena serangan dron berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad di Iraq. — Agensi/ Terjemahan AlHijrah Online