PERSIAPAN AKHIR SIDANG KEMUNCAK KL GIAT DIJALANKAN

Last Updated on

5

KUALA LUMPUR: Bahang Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di ibu negara semakin terasa apabila persiapan terakhir giat dijalankan.

Seawal 7.30 pagi tadi kelihatan anggota polis telah ditempatkan di pintu-pintu masuk di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tempat sidang kemuncak itu, bagi tugasan saringan keselamatan.

Turut berlangsung sesi raptai penuh majlis perasmian sidang kemuncak itu yang disaksikan Setiausaha Agung Bersama Sidang Kemuncak KL, Tan Sri Samsudin Osman sekitar 10 pagi.

Sesi raptai tersebut turut disertai Kumpulan Regalia Skuadron Istiadat Berkuda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Sungai Buloh yang bertanggungjawab bagi elemen tiupan Nafiri Diraja, kawalan tombak dan iringan muzik lagu kebangsaan ‘Negaraku’, diketuai Kapten Muhammad Zulhelmi Mohammad Isa yang memimpin 42 anggota ATM.

Dewan Plenari KLCC yang bakal menyaksikan upacara perasmian itu juga sedang dipersiapkan dengan kru teknikal kelihatan membuat semakan terakhir sistem audio dan visual.

Sidang Kemuncak KL berlangsung mulai esok hingga Sabtu dan didahului Sidang Kemuncak Belia KL hari ini dan esok.

Sidang Kemuncak KL, bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu yang menimpa dunia Islam dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam serta negara Islam, dijadual dihadiri pemimpin, pemikir, intelektual dan cendiakawan dari seluruh dunia. — BERNAMA

Leave a Reply