PESAKIT MENTAL BUKAN PENJENAYAH: PAKAR PSIKOLOGI

SHAH ALAM: Persepsi masyarakat yang mengaitkan kelakuan jenayah dengan penyakit mental perlu diubah, demikian menurut pakar psikologi.
Pakar dari Pusat Psikologi Jiwadamai, Faizah Othman berkata risiko pesakit mental melakukan jenayah adalah rendah berbanding orang biasa.
Katanya, masyarakat tidak boleh mudah menunding jari kerana ada faktor lain penyumbang jenayah seperti pengaruh dadah dan minuman keras.
“Mengikut kajian jenayah yang kita lakukan, terlalu sedikit penjenayah yang terlibat dengan gejala sakit mental.
“Kajian kita dapati kelakuan jenayah banyak disumbangkan masalah sikap jahat berbanding sakit mental,” katanya kepada AlHijrah Online hari ini.
Faizah berkata amat jarang untuk pesakit mental bertindak ganas lebih-lebih lagi mereka yang mendapatkan rawatan daripada pakar.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kenyataan bahawa ada pesakit mental yang berkelakuan ganas hingga mengundang kejadian jenayah.
Katanya, kebiasaannya perkara itu berlaku apabila pesakit tidak mendapat rawatan pakar hingga menyebabkan masalah mental menjadi lebih parah.
“Di Malaysia, kesedaran mental masih rendah. Orang kita apabila ada gangguan emosi dia akan kaitkan dengan kena buatan orang atau roh jahat.
“Gangguan mental dia selalu letak bawah sekali,” katanya merujuk kepada insiden jenayah kejam di luar batas pemikiran manusia yang berlaku kebelakangan ini.
Antara insiden jenayah menjadi perhatian ramai ialah pembunuhan menyayat hati seorang isteri dan anaknya dibunuh dan dikerat-kerat suaminya sendiri.
Insiden itu menyebabkan banyak pihak mengaitkan masalah mental dengan perbuatan jenayah kejam. — AlHijrah Online/ Zaim Zamani