NGO DISARAN BANTU TINGKAT PENGETAHUAN KESELAMATAN, KESIHATAN B40: ZURAIDA

AMPANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan keselamatan dan kesihatan turun padang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai keselamatan di tempat kediaman.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata kerjasama antara NGO dan agensi kerajaan penting bagi membantu meningkatkan kefahaman kelompok sasaran, khususnya golongan B40 yang menetap di PPR.

Katanya, kerjasama itu juga akan meningkatkan kualiti hidup rakyat secara umumnya.

“Jadi saya amat berharap NGO seperti Ikatan Komuniti Selamat boleh mendekati golongan B40. Kerana golongan inilah yang kurang mendapat pendedahan, kurang ilmu, dan kurang tanggungjawab dari segi menjaga keselamatan dan kesihatan mereka.

“Jadi dengan adanya NGO ini boleh membantu mereka satu ilmu, pendedahan yang informal. Jadi dia akan dapat cara-cara bagaimana hendak tingkatkan keselamatan dan kesihatan dan ini akan membantu meningkatkan mutu hidup rakyat Malaysia, terutama sekali golongan B40,” katanya selepas melancarkan Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat di sini hari ini.

Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat atau IKATAN diterajui tokoh sosial, Tan Sri Lee Lam Thye adalah NGO yang bertujuan mempromosikan keselamatan sebagai cara hidup masyarakat.

Sementara itu, Lam Thye berkata pihaknya bercadang mengadakan siri ceramah kesedaran keselamatan dan kesihatan kepada institusi tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.

“Ini salah satu sasaran kita. Saya menerima banyak permintaan daripada sekolah tahfiz untuk turun padang bersama dengan pengusaha-pengusaha sekolah tahfiz berdaftar,’’ katanya. — AlHijrah Online/Hanisa Hasanuddin

Leave a Reply