JKJR, JPN KEDAH DIDIK PELAJAR BAHAYA BASIKAL LAJAK

SINTOK: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bekerjasama mengadakan program advokasi kesedaran mendidik pelajar sekolah, mengenai bahaya penggunaan basikal lajak dalam usaha membanterasnya.

Pengarah JKJR Kedah Chan Kei Hong berkata kerjasama itu membolehkan pihaknya, menyampaikan maklumat berkaitan isu basikal lajak kepada guru-guru sekolah di negeri ini, melalui modul yang disediakan.

“Di Kedah, setakat ini kegiatan basikal lajak ini masih terkawal dan hasil pemantauan juga mendapati tiada kumpulan besar yang berkumpul di jalan raya. Ia tidak sampai tahap menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya, namun kita masih tetap menjalankan pemantauan.

“Kita memang selalu jalankan program atau ceramah mengenai keselamatan jalan raya kepada pelajar sekolah dan isu basikal lajak juga turut diselitkan. Selain itu, Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Sekolah Rendah juga telah diperkenalkan, manakala bagi sekolah menengah akan diperkenalkan tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Modul pendidikan itu mula diperkenalkan pada tahun ini dengan pendedahan aspek keselamatan jalan raya kepada pelajar, yang diselitkan dalam subjek Bahasa Melayu untuk tempoh dua jam setiap bulan.

Dalam pada itu, Chan turut menasihati ibu bapa supaya lebih peka dan memantau aktiviti dan perubahan pada basikal anak mereka, yang dijadikan basikal lajak kerana basikal yang telah diubah suai tidak sesuai untuk ditunggang di jalan raya, kerana boleh mendatangkan bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Terdahulu, Chan menghadiri Program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Negeri anjuran JKJR bersama Universiti Utara Malaysia (UUM). — BERNAMA

Leave a Reply