AFGHANISTAN: LEBIH 600 SEKUTU DAESH SERAH DIRI
KABUL: Lebih 600 sekutu Daesh, termasuk dari Pakistan, Asia Tengah dan Iran, menyerah diri dalam tempoh dua minggu lalu di Afghanistan, kata Kementerian Pertahanan Afghanistan semalam.
Agensi berita Anadolu yang memetik kementerian itu berkata 18 militan bersama 24 wanita dan 31 kanak-kanak menyerah diri pada Jumaat, selepas kubu kuat Daesh di timur Afghanistan di sempadan Durand Line bersebelahan Pakistan, dineutralkan.
Dengan ini, angka mereka yang ada kaitan dengan kumpulan terbabit menyerah diri melebihi 600 orang, kata Kementerian Pertahanan Afghanistan.
Kementerian terbabit berkata operasi pembersihan itu memaksa militan menyerah diri.
Agensi berita tempatan Tolo News melaporkan antara yang menyerah diri adalah militan dari Tajikistan, Uzbekistan, Russia dan Iran selain penduduk Kurdish.
Menteri Dalam Negeri, Masoud Andrabi dilaporkan berkata kumpulan militan Daesh tempatan, Islamic State-Khorasan (IS-K), telah dikalahkan sepenuhnya dan dihalau dari kubu kuat mereka di wilayah timur Nangarhar.
Andrabi berkata kumpulan militan itu cuba mencari tapak kubu baru tetapi pasukan keselamatan telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. — Terjemahan AlHijrah Online