PKP KEMBALI JIKA KES POSITIF HARIAN TIGA ANGKA – ISMAIL SABRI

KOTA BAHRU: Kerajaan akan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes positif COVID-19 harian mencecah tiga angka.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika kes terus meningkat kerajaan tiada pilihan selain mengembalikan semula PKP sekaligus menghadkan pergerakan dan aktiviti rakyat.

“Kita takut kalau dia terus tinggi, meningkat sampai tiga angka, kita terpaksa tutup semula, PKP akan dilaksanakan semula.

“Jika PKP dilaksanakan semula, tentulah yang sukarnya kita sendiri. Tidak boleh berniaga, tidak boleh bekerja, dan perlu duduk dalam rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Ujarnya kerajaan memandang serius laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan peningkatan kes COVID-19 empat hari berturut-turut adalah disebabkan sikap sambil lewa rakyat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Ismail Sabri berharap keputusan untuk memperketatkan SOP yang akan diumumkan esok masih belum terlewat untuk memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply