KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkesempatan untuk menziarahi Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, di Institut Jantung Negara (IJN).
Anwar dalam hantarannya di Facebook berkata, doktor memaklumkan bahawa Abdul Hadi sedang berehat selepas menerima rawatan dialisis setelah menjalani beberapa prosedur kesihatan.
“Saya juga sempat melawat sahabat saya Profesor Ziauddin Sardar dan berbicara berkaitan tahap kesihatannya.
“Kita doakan semoga urusan kedua-dua sosok ini dipermudah dan diberikan a’fiat sesegera mungkin oleh Allah SWT,” katanya hari ini.
Anwar terdahulu sempat menyantuni masyarakat sekitar Bandar Baru Selayang untuk program makan tengah hari dan solat Jumaat.–AlHijrah Online