KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur selepas keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang selama ini terperangkap di Gaza, Palestin berjaya disatukan semula.
“Alhamdulillah, keluarga saudara Nadir berjaya disatukan.
“Penghargaan tidak terhingga buat sahabat saya, Presiden Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama yang diberikan,” katanya hari ini dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Nadir turut memuat naik hantaran di Facebooknya yang melahirkan rasa penghargaan kepada Anwar atas tindakannya yang tegas membela nasib rakyat Palestin yang ditindas entiti haram, Israel.
Nadir turut berkongsi kisah bagaimana ahli keluarganya yang berada di Palestin berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia.
Kisahnya bermula apabila Nadir memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby bahawa keluarganya terkandas di Rafah.
Katanya, Ahmad Sani hanya sempat membelek kiriman dan memberikan maklum balas ringkas bahawa beliau akan cuba membantu.
“Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja, namun dalam surat, ada saya akhiri ayat dengan ‘kepada Allah jualah kami berserah’. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah.
“Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini,” katanya.
Sejak awal peperangan, Nadir memaklumkan bahawa Ahmad Farhan kerap menjemputnya ke pejabat di Putrajaya dan sering bertanyakan perihal keadaan keluarga serta perkembangan di Gaza.
Bagaimanapun, Nadir berkata, ketika Ahmad Farhan menghubungi pada 29 Ramadan itu, nadanya berbeza dan beliau turut memaklumkan untuk ke satu lokasi khas, namun hanya dibenarkan hadir bersama Ahmad Sani sahaja.
“Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie. Alangkah terkejutnya saya saat pintu kenderaan dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan.
“Saya sudah biasa melalui perang di Gaza, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan tetapi misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk mengeluarkan keluarga saat bedilan roket serta hentaman bom bertali-arus malah ketegangan di sempadan berlanjutan.
“Bagaimanapun, secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” ujarnya.
Tambah Nadir, proses membawa pulang keluarganya itu cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1,001 cabaran tersirat, namun tidak semua beliau berhak untuk kongsikan.
“Untuk Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Dr Ahmad Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.
“Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua,” katanya.
Nadir pada 11 April lalu berkongsi detik yang paling berharga apabila dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Malaysia selepas mereka terkandas di Gaza ekoran serangan rejim Zionis.
Malah, terdapat juga siri usaha yang dijalankan melibatkan pelbagai pihak untuk membawa keluar keluarganya dari Palestin pulang ke tanah air.
Nadir, lima hari lalu pertama kali memuat naik gambarnya bersama tiga anak mengenakan pakaian Hari Raya, meraikan Aidilfitri dengan catatan yang disifatkan sebagai satu kesyukuran yang tidak terhingga buat dirinya.
“Selepas usaha panjang, akhirnya kami disatukan. Perbincangan beberapa bulan, pendapat ramainya ulama dan paling penting doa kalian.
“Banyak yang perlu kami ceritakan, hero yang perlu kami dendangkan tetapi buat masa ini biarlah kalian beraya sehingga esok lusa,” katanya dalam catatan di laman sosialnya bertarikh 1 Syawal itu.–AlHijrah Online