POLIS NAFI DAKWAAAN LARANGAN KELUAR RUMAH SELEPAS JAM 6 PETANG

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial menerusi sebuah video menyatakan mereka yang keluar rumah selepas jam 6 petang akan ditangkap, kecuali jika mempunyai urusan perubatan atau urusan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, klip video yang tular menggunakan maklumat latar belakang Facebook ‘Kepong Community’, mendakwa arahan tersebut dikeluarkan Ketua Polis Negara.

“Orang ramai dibenarkan keluar rumah untuk membeli makanan dan keperluan asas pada waktu kedai-kedai beroperasi hingga 8 malam sebagaimana termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertarikh 1 Jun,” katanya.

Bagaimanapun, kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat kes tersebut.

Dalam masa yang sama, Beng menasihati orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu atau fakta yang belum disahkan dengan pihak berkuasa.

Individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan COVID-19 yang menyebabkan ketakutan dan kebimbangan orang awam boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.—AlHijrah Online

Leave a Reply