POLIS TAHAN DUA LELAKI DISYAKI TERLIBAT KES BUNUH WARGA EMAS

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang warga emas, yang dipercayai mati dibunuh, dalam kawasan semak berhampiran Jalan Song Ban di sini, kira-kira pukul 7.45 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San berkata kedua-dua lelaki masing-masing berumur 50-an dan 60-an yang merupakan kenalan warga emas berumur sekitar 70-an itu, ditahan secara berasingan di Hospital Bukit Mertajam dan perkarangan Klinik Kesihatan Berapit, di sini hari ini, semasa menerima rawatan.
Beliau berkata kedua-dua mereka menerima rawatan bagi kecederaan yang disyaki berkaitan dengan kes bunuh warga emas berkenaan, dan seorang daripada suspek didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah serta tujuh kes narkotik.
“Berdasarkan siasatan awal, punca kejadian disebabkan kedua-dua suspek tidak berpuas hati dengan warga emas itu sehingga berlaku pergaduhan… warga emas itu dipercayai telah ditikam menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.–AlHijrah Online