HULU SELANGOR: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes cubaan mencabul kanak-kanak perempuan, di sebuah masjid di kawasan Batang Kali, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berhubung video tular di media sosial berkenaan kejadian tersebut.
“Suspek lelaki warga tempatan berumur 19 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Sabtu 22 Feb untuk permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil bagi membantu pihak polis dengan menghubungi Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran, katanya.
Hari ini tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang lelaki melakukan cubaan mencabul seorang kanak-kanak perempuan semasa solat Subuh, di sebuah masjid di Batang Kali.—AlHijrah Online