RM21 JUTA BANTUAN ONE-OFF UNTUK TAHFIZ, PONDOK & SEKOLAH AGAMA – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan RM21 juta bantuan one-off kepada pusat tahfiz swasta, pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah agama swasta berdaftar dengan pihak berwajib di seluruh negara yang terjejas akibat COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya sedar wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini memberi kesan kepada guru-guru di Institusi Pendidikan Islam yang terjejas, terutama dari sudut pengurusan operasi dan sara diri.

Zulkifli berkata bantuan one-off itu antara lain merangkumi bantuan sara hidup RM800 kepada 22,920 guru terbabit.

Katanya, ia juga meliputi bantuan pengurusan operasi bertujuan membiayai kos pengurusan, utiliti, sewaan dan lain-lain perbelanjaan operasi pada nisbah kiraan RM10 setiap murid kepada 2,119 institusi pendidikan di seluruh negara.

“Bantuan one-off ini adalah daripada peruntukan RM100 juta yang telah disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah Bajet 2020 bertujuan membiayai penyelenggaraan dan naiktaraf institusi tahfiz, pondok dan sekolah agama berdaftar.

“Penghargaan ditujukan kepada Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia atas kelulusan bagi peruntukan berkenaan untuk tujuan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berharap bantuan itu dapat meringankan beban kelompok warga Institusi Pendidikan Islam yang terjejas akibat PKP.

Kerajaan menguatkuasakan PKP dari 18 Mac hingga 14 April depan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 3,116 kes jangkitan wabak COVID-19 dengan 50 maut. Daripada jumlah itu, 105 kes dirawat di ICU dengan 54 pesakit memerlukan bantuan pernafasan. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply