Salahkah Wan Ji dihukum?

Oleh Rozais Al-Anamy

SEMENJAK Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara selama setahun, ramai mengkritik dan menyatakan bantahan mereka terhadap hukuman tersebut, termasuklah pemimpin parti dan individu berpengaruh dalam politik negara serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Suaram.

Hukuman terhadap Wan Ji dinilai oleh logik akal sendiri sebagai keras dan sangat tidak wajar untuk beliau. Antara yang menyatakan rasa tidak bersetuju secara terang-terangan termasuklah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengganggap hukuman itu tidak selari dengan pembaharuan politik.

Beliau sebagaimana dipetik Malaysiakini semalam menyifatkan hukuman itu sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran dan berhasrat merujuk perkara ini serta membincangkannya dengan Perdana Menteri.

Selasa lalu, Wan Ji mula menjalani hukuman penjara selepas mahkamah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu. 

Wan Ji Wan Hussin pernah didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya kerana menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam laman sosial Facebook dengan nama wanji.attaaduddi tujuh tahun lepas. 

Kemudian pada 2014, Wan Ji disabitkan bersalah, tetapi hukumannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Kritikan itu semakin hangat memandangkan mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Peguam Negara Tommy Thomas turut didesak supaya membuat penjelasan awam oleh Suaram, manakala peguam Syahredzan Johan pula mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara yang membuat rayuan untuk menambah hukuman terhadap Wan Ji.

Syahredzan yang merupakan Setiausaha Politik Lim Kit Siang dalam ciapannya di Twitter mempersoalkan rayuan pihak pendakwaan yang merayu hukuman lebih berat kepada Wan Ji sedangkan kerajaan sedang menuju pemansuhan Akta Hasutan.

Beliau juga membandingkan hukuman tersebut dengan hukuman denda sahaja sebelum ini untuk kes di bawah akta yang sama, dan menyifatkan keputusan kali ini menyimpang dari trend hukuman sebelumnya.

Sementara itu, penulis tersohor Faisal Tehrani sebagaimana dipetik Malaysiakini membidas PH yang didakwa banyak menghukum orang yang “bekerja kuat untuk mereka dari awal”.

“Kerajaan PH menganugerahkan ramai orang BN atau bekas BN (baru jadi PH) dan hukum orang yang bekerja kuat untuk mereka dari awal”, ciapnya di Twitter.

Berpandukan kenyataan-kenyataan pihak yang mengkritik di atas, kelihatanya mereka ini mendahulukan emosi dalam bertindak. Hujah yang dikemukakan menimbulkan persepsi masyarakat bahawa sikap asabiyah membela rakan sefikrah masih menebal dalam kalangan ahli politik serta mendedahkan ketirisan integriti mereka.

Kenyataan Anwar seolah-olah menghina mahkamah apabila mempertikaikan hukuman yang telah diputuskan mahkamah. Dalam hal ini beliau boleh sahaja menyarankan supaya pesalah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya, Anwar memilih untuk bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan hukuman terhadap Wan Ji tersebut. Tindakan ini jelas menunjukkan Anwar tidak hormat dan tidak faham kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang, di mana pihak eksekutif tidak seharusnya mempengaruhi legislatif.

Tindakan itu juga memaparkan sifat kurang bijaksana apabila menggunakan ‘pintu belakang’ untuk perkara yang tidak memihak kepada kehendaknya. Apakah maksud Anwar mahu bertemu Perdana Menteri, apakah beliau mahu Perdana Menteri memujuk Peguam Negara menyemak semula keputusan yang telah dimuktamadkan itu?

Kenyataan seperti ini boleh mencederakan imej Perdana Menteri dan boleh mencetuskan rasa syak wasangka terhadap integriti pemimpin negara.

Manakala kenyataan Syahredzan pula memperlihat ketidakfahaman beliau terhadap status undang-undang negara kerana sewaktu hukuman terhadap Wan Ji dijatuhkan, Akta Hasutan 1948 masih diguna pakai. Kekecewaan beliau tidak sepatutnya mempengaruhi perkiraan masa akta yang berkuat kuasa.

Sesuatu keputusan mahkamah juga tidak seharusnya dinilai mengikut selera sebagaimana memilih untuk berpakaian yang mengikut trend. Namun beliau merigidkan keputusan tersebut kepada denda dengan merujuk kes terdahulu, sedangkan sesuatu hukuman perlu disesuaikan mengikut fakta kes.

Begitu juga kenyataan Faisal Tehrani yang dilihat sebagai memberi persepsi buruk kepada PH. Sesiapa pun akan terdetik di hati bahawa PH mengamalkan kronisme dan tidak telus dalam soal keadilan dengan kenyataan polos Faisal ini. Apakah Faisal tetap membela sedemikian sekiranya pesalah itu adalah dari pembangkang?

Dalam kes Wan Ji, kenyataan beliau dianggap keterlaluan dan melampau batas moral yang waras. Hakikatnya Wan Ji bukan mengkritik, sebaliknya menghina untuk memalukan Ketua Agama bagi sebuah negara yang meletakkan kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagai prinsip kedua dalam Rukun Negara.

Amat dibimbangi sekiranya Peguam Negara terpengaruh dengan desakan sebegini, sistem perundangan negara hanya menjadi bola sepak yang digilir dari satu pemain ke pemain politik dan mereka yang berkepentingan.

* ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

Leave a Reply