SAMUN KERETA DALAM SJR, DUA PENYAMUN DITAHAN

GOMBAK: Dua penyamun berjaya diberkas polis setelah gagal melakukan kegiatan samun ke atas sebuah kenderaan yang sedang berbaris di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak arah ke Bentong.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi, dua suspek menaiki sebuah motosikal dengan memecahkan cermin bahagian tempat penumpang hadapan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun sebelum melarikan beg tangan mangsa.

Bagaimanapun, kejadian tersebut disedari pemandu lori di sebelah kenderaan mangsa kemudian membunyikan hon sebelum beberapa pemandu lain turut menyembunyikan hon masing-masing.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek dalam keadaan panik cuba melarikan diri, namun seorang pemandu lori lain bertindak membuka pintu lorinya selepas menyedari kejadian itu menyebabkan motosikal suspek terlanggar pintu tersebut dan terjatuh.

Pemandu lori terbabit dengan dibantu beberapa orang awam berjaya menangkap kedua-dua suspek tersebut selepas terjatuh.

“Suspek yang berusia 24 tahun dan 28 tahun itu kemudian diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di SJR sebelum polis membuat tangkapan semula ke atas mereka.

“Pemeriksaan mendapati suspek melarikan beg tangan mangsa mengandungi pelbagai dokumen peribadi dan wang tunai RM90 dalam kejadian yang berlaku kira-kira 100 meter dari Plaza Tol Gombak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, semakan mendapati motosikal jenis SYM digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia dilaporkan hilang di Taman Melawati.

“Kita turut menemui dua beg tangan mengandungi dua kad pengenalan wanita milik dua mangsa samun dalam dua kejadian berasingan di Sentul dan Brickfields, yang turut berlaku kira-kira pukul 7.50 pagi dan 8.15 pagi semalam,” jelasnya.

Suspek menggunakan modus operandi hampir sama iaitu memecahkan cermin kereta sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum melarikan beg tangan mangsa, tambah Arifai.

“Seorang suspek ada rekod dikehendaki polis kerana kes dadah, selain rekod lampau berkaitan jenayah.

“Kedua-dua suspek direman lima hari mulai hari ini hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan berikutan penahanan itu, pihak kita berjaya menyelesaikan empat kes samun di daerah Gombak dan Kuala Lumpur,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply