“SAYA TIDAK BOLEH SELESA SEHINGGA 5 PETANG ESOK”

image

KUALA KANGSAR, 17 Jun – Menjelang hari terakhir kempen, calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid melahirkan keyakinan pengundi atas pagar akan memberi sokongan kepada beliau.

Mastura berkata ada antara pengundi atas pagar yang bertemu beliau dan menyatakan sokongan kepada BN dalam PRK ini.

“Saya kenal mereka, saya yakin mereka akan memberi sokongan kepada BN,” katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Dalam pada itu Mastura tetap melahirkan debaran menjelang hari pengundian yang dijadualkan bermula 8 pagi esok di 23 pusat pengundian yang ditetapkan.

“Saya tidak boleh selesa sehingga jam 5 petang esok,” katanya.

Mastura sekali lagi menyatakan harapan besar supaya diberi peluang untuk meneruskan perjuangan arwah suaminya di Kuala Kangsar. Katanya pengundi Kuala Kangsar perlu membuat keputusan yang jelas dan nyata iaitu terus menzahirkan pembangunan yang mahu dilihat dan diteruskan di Parlimen berkenaan.

“Beri peluang untuk saya menzahirkan usaha itu, saya tahu apa yang kita mahu untuk Kuala Kangsar, dan berjanji akan bersama-sama pengundi untuk menjayakannya,” katanya.

Mengulas mengenai pemasangan kain rentang yang memburukkan dirinya, Mastura berkata ia merupakan lumrah dalam mana-mana pilihan raya. Katanya perkara tersebut telah dijangka dan menasihatkan semua parti yang bertanding supaya bertanding secara sihat.

“Paling penting sekarang, jentera BN bersatu ke arah kemenangan esok. Jentera telah bekerja secara maksimum dan saya amat menghargainya,” katanya.

PRK Kuala Kangsar akan diadakan esok berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Annuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas.

BERNAMA

Leave a Reply