SEKOLAH AGAMA DAIF, INGIN NAIK TARAF BOLEH MOHON PERUNTUKAN

GAMBAR ARKIB: BERNAMA

IPOH:  Mana-mana sekolah rendah agama rakyat (SRAR) yang ingin dinaik taraf atau infrastrukturnya daif, boleh memohon peruntukan untuk mengadakan projek penyelenggaraan kepada kerajaan negeri atau pusat untuk dipertimbangkan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata permohonan itu akan dinilai oleh pejabat daerah untuk kelulusan lanjut jika memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Ada peruntukan tahunan daripada kerajaan pusat dan negeri dalam pembentangan bajet untuk penyelenggaraan. Boleh memohon dan ada penilaian yang akan dibuat oleh pejabat daerah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Zainun Mat Noor (BN-Chenderoh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Zainun dalam soalan asalnya ingin tahu perancangan kerajaan negeri dalam membangunkan sekolah tersebut yang memerlukan perhatian berterusan baik di peringkat kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.

Saarani berkata kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat berkenaan keperluan semasa yang diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan dipanjangkan kepada agensi yang berkaitan.

Beliau berkata selain daripada bantuan pembangunan infrastruktur sekolah, kerajaan negeri juga turut menganjurkan pelbagai kursus, bengkel dan latihan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar bagi memastikan kemaslahatan pembangunan modal insan dapat ditingkatkan.

Katanya, sejumlah RM7.27 juta telah diperuntukkan kepada SRAR tahun lepas iaitu bantuan per kapita bagi tujuan pengurusan sekolah (RM5.55 juta), bantuan naik taraf dan selenggara bangunan atau infrastruktur (RM1.64 juta) serta bantuan Internet guru bagi tujuan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) (RM76,700). —  AlHijrah Online

Leave a Reply